a

a

Tuesday, October 15, 2013

SATU ANALISA - SIAPA SELEPAS ABDULLAH WONG?

“102 cawangan dari 156 cawangan telah memberi sokongan kepada saya, melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Tuku 39, Gual Periok 32 dan Meranti 31. Beginilah kedudukan terkini dan janganlah terkeliru dgn provokasi yang dibuat atau diada-adakkan oleh pihak lawan. Cayo lah ambo tidak blawok… Memang betul... Kita jaga puok kita...tidak sedap atas figure je…” kata penyandang Ketua Bahagian Umno Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassim dalam laman sosial milik beliau pada 16 September lepas.
Kenyataan Abdullah dalam laman sosialnya

Kalau dianalisa keputusan persidangan tiga sayap bahagian iaitu Pemuda, Puteri dan Wanita pada 12 Oktober lepas, jelas kenyataan beliau itu umpama satu retorik perang psikologi yang sengaja dihuarkan bagi memenangi hati beliau.

Ayam tambatan beliau, Mohd Izhan Ramli yang bertanding jawatan Ketua Pemuda bersama dua calon yang lain sekadar mampu meraih 88 undi. Sepatutnya berdasarkan teori di atas calon tajaan beliau akan meraih 102 undi jika setiap seorang ketua pemuda cawangan mengundi Mohd Izhan. Itu pun belum diambil perkiraan 4 lagi perwakilan pemuda setiap cawangan. Jumlah undi sekecil itu menterjemahkan Abdullah hanya menguasai tidak sampai pun 20 cawangan dan ianya merupakan satu ‘Technical Knock Out (TKO)’ untuk kumpulan beliau.
Akbar dijulang Shaari (tiga, kiri)

Hasrat beliau dan peneraju satu lagi kumpulan, Datuk Mohd Zain Ismail tidak kesampaian apabila Ustaz Afandi Yusof (penyandang) hanya memperolehi 195 undi. Kedua-dua calon tajaan mereka kalah kepada muka baru Akbar Salim yg berjaya memperolehi 253 undi.

Marie Suriani (tiga,kiri) mengangkat tangan selepas menang
Keupayaan kumpulan Abdullah pada persidangan 
sayap puteri juga tidak menyerlah apabila calon tajaan beliau Nor Farhana Che Ismail kalah kepada Marie Suriani Abdullah dengan majoriti sebanyak 30 undi. Manakala calon tajaan Mohd Zain, Noor Asikin Che Hanafiah ditolak pada saat akhir oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno atas masalah teknikal.

Pauziah (dua, kanan) meraikan kemenangan bersama Abdullah
Hanya Ketua Wanita sahaja dimenangi kumpulan Abdullah iaitu Pauziah Che Wook yang mengalahkan Rohani Mamat dan Norhayati Mamat. Sesetengah berpendapat kemenangan itu dikaitkan dengan simpati wanita atas penggantungannya satu masa dulu, bukan kerana dia menyertai rakit Abdullah. Ada juga khabar angin yang mengatakan ‘habuan’ yang sampai ke tangan perwakilan bagi pihaknya lebih besar berbanding yang lain.

Sebalik Tabir

Senario yang berlaku menampakkan kumpulan Abdullah dan Mohd Zain bagaikan sudah kehilangan taring. Ketiga-tiga sayap Mohd Zain sudah berkubur manakala Abdullah walupun memenangi sayap wanita dilihat bakal berputih mata pada persidangan bahagian Sabtu depan. Ramai pemerhati melihat apa yang menimpa Mohd Zain merupakan penolakan terhadap batang tubuh dan bukannya individu dalam kumpulan beliau.

Shaari Mat Hussain
Pencabar terdekat ialah penyandang timbalan ketua bahagian iaitu Datuk Shaari Mat Hussain yang menjadi dalang kepada kemenangan Sayap Pemuda dan Puteri. Moral Shaari berada pada tahap begitu tinggi sekali apabila kedua-dua sayap tajaan beliau memperolehi kemenangan besar.

Shaari juga dilihat calon yang sesuai bakal dinobatkan ketua bahagian, sudah semestinya fenomena ini bakal dilihat oleh Abdullah dan Mohd Zain sebagai satu kekangan bagi mencapai hasrat untuk berkuasa.

Din Mamat
Secara nyatanya Shaari kini dilihat mendahului, namun dua lagi calon ketua bahagian masih mampu meneruskan perjuangan kerana mereka tidak mencampuri urusan sayap. Gerakan Din Mamat dilihat kurang bermaya kerana faktor umur dan dia dilihat hanya sebagai proksi Tan Sri Hussien Ahmad.

Hussein menyeru ahli-ahli agar jadikan pemilihan kali ini untuk menyingkir secara keseluruhan, tidak kira muka lama atau baharu, yang sekadar inginkan projek apabila mendapat kuasa kelak.

Manakala gerakan transformasi dilihat bertenaga dan momentumnya adalah sangat baik. Calon no 4 dari kumpulan ini, Mohamad Che'I sanggup bercuti dari tugasannya sebagai guru besar selama seminggu untuk berkempen secara turun ke peringkat akar umbi sejak 4 Oktober lepas. Penggunaan medianya amat berpengaruh dan dilihat amat berkesan sekali.
Mohamad Che'I

Gerakan Sulit Mendapat Sambutan

Gerakan sulit dan senyap ini telah mendapat sokongan, tetapi tidak ramai yang berani menonjolkan diri secara berdepan kerana faktor cari makan. Kebanyakan mereka melahirkan kekecewaan kepada pemimpin-pemimpin lama yang terlalu berkepentingan dan hidup dalam kancah pergolakan.

Ahli-ahli Umno yakin perubahan drastik pasti berlaku dan bakal berubah kerana penggerak transformasi disifatkan sebagai profesional, berpelajaran, matang dan bijak. Bertahun-tahun mereka menunggu peluang dan inilah detik terbaik untuk mereka menyumbang idea dan tenaga merubah senario politik berkecamuk kepada RANTAU PANJANG BERANI BERUBAH.

Manifesto transformasi
Mungkin ada kejutan dijangka berlaku menjelang 19hb nanti apabila seorang lagi tokoh muda berpendidikan yang berjaya iaitu Ir Fauzi Omar pulang dan menjalankan gerakannya. Dia dilihat berpengaruh namun dipencilkan oleh Mohd Zain. Siapa yang bakal dibantunya nanti masih belum pasti. Namun desas-desus telah kedengaran mana mungkin Ir Fauzi Omar membiarkan rakan-rakan pemudanya era tahun 2008 berjuang bersendirian. Adakah Transformasi bakal jadi realiti atau fantasi?

Jadi jelaslah persaingan kini adalah di antara  dua calon muda iaitu Shaari dan Mohamad Che'I. Shaari dilihat lebih menonjol kerana merupakan bekas ketua pemuda, naib dan timbalan ketua. Kekalahannya dalam pilihan raya 2008 dan 2013 membenarkan anggapan bahawa beliau sudah ditolak pengundi.

Kumpulan 'Transformasi'
Beberapa pendedahan kegagalannya dalam beberapa projek dan pengurusan parti yang teruk mencemarkan kehebatannya sebelum ini. Beliau dikenalpasti jarang hadir ke mesyuarat bahagian kerana tidak mahu bekerjasama dengan Abdullah dalam menjayakan program parti.

Populariti dua calon ini pasti akan ditentang habis-habisan, dalam hal ini Shaari bakal menerima tentangan sengit kerana juga mampu membawa perubahan kepada Umno bahagian dengan cara ‘tersendiri’. Abdullah dan Mohd Zain pasti menyusun gerakan dengan pelbagai strategi demi meraih undi perwakilan walaupun dilihat sudah tumpas awal di medan pertempuran. Kemungkinan senjata utama akan diguna berkait rapat dengan habuan yang bakal dihulur.

Semestinya perwakilan hari ini bijak untuk menilai, sekiranya didatangi golongan seperti ini, mereka seharusnya mempertahankan maruah bila berhadapan situasi sukar begini. Ibarat kata Nik Aziz Nik Mat, “beri gula kacau, beri kain pakai, beri duit ambil TAPI undi belum pasti”. – HUSIN ALBI

Friday, October 11, 2013

SABOTAJ INDEN SPNB DAN PECAT MEMECAT MENJELANG PEMILIHAN UMNO RANTAU PANJANG…

Rumah Mesra Rakyat
         
“Minta maaf…ambo terpaksa pegang dulu inden kerja yang telah diserahkan kepada saya, ada orang ketiga minta saya jangan serahkan dulu”, itulah kata-kata yang terkeluar daripada mulut Pengurus Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) cawangan Kelantan kepada mereka yang datang dari jauh untuk mengambil inden tawaran bernilai RM60,000 pada pagi 7 Oktober lepas.

Abdullah Mat Yassim
Mereka yang mewakili beberapa buah syarikat telah ditauliahkan oleh SPNB untuk membina Rumah Mesra Rakyat dalam Parlimen Rantau Panjang pulang dengan perasaan hampa. Antaranya ialah Bakat Maju Enterprise, Ana Gual Badak, Fajar Yusuf dan lalin-lain lagi.

Sejumlah 21 inden tawaran telah dipegang sehingga satu tarikh diberitahu kelak akan penyerahannya, manakala sebahagian lagi telah pun diserahkan kepada tuan empunya syarikat bagi menunaikan tanggungjawab untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan miskin memiliki kediaman yang mampu dimiliki.

Menurut sumber, khabarnya lebih 20 surat tawaran telah diserahkan kepada individu atau syarikat yang berpihak 
kepada Ketua Bahagian Umno Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassim pada pemilihan bahagian 19 Oktober ini.

Abd Latiff Ahmad
Ada di kalangan pihak terbabit yang merasa teraniaya menelefon terus Pengerusi SPNB Datuk Abd Latiff Ahmad mengadu akan kejadian yang berlaku. Beliau merasa amat dukacita dengan peristiwa yang berlaku di Parlimen Rantau Panjang dan memberi jaminan surat berkenaan akan diserahkan secepat mungkin sebelum pemilihan Sabtu depan.

Campur Tangan Pengurusan SPNB

Sehari sebelum kejadian, pada 6 Oktober, Abd Latiff hadir sesi memperkenalkan calon bagi pemilihan peringkat tertinggi Umno di Pejabat Perhubungan Umno Kelantan pada sebelah pagi dan turut membawa Inden Tawaran 
SPNB untuk diserahkan kepada semua syarikat yang layak di seluruh negeri.

Menurut sumber itu lagi, kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama Abdullah Mat Yassim yang tidak berpuas hati pergi ke pejabat SPNB negeri. Beliau meminta agar SPNB mengkaji semula pemberian tawaran dalam bahagiannya dan dalam masa yang sama mengarahkan agar dokumen inden milik individu atau syarikat yang tidak berpihak kepadanya tidak diserahkan.

Tindakan Abdullah mengingatkan kembali akan peristiwa 36 Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) dan tiga Ketua Penyelia Pembangunan Mukim (KPPM) dipecat pada 2009 dan dalam masa yang sama juga beliau telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan membekukan sebarang tender membabitkan 21 syarikat milik kumpulan berkenaan.

Apakah luka lama akan berdarah kembali sekiranya Abdullah memenangi kerusi ketua bahagian yang disandangnya. Mungkinkah beliau sengaja tidak menyedari senario yang pernah berlaku sebelum ini demi kuasa atau sengaja bersekongkol dengan ‘dua balacinya’ untuk menghancurkan Umno Rantau Panjang.

Pecat Memecat

Sebelum peristiwa di SPNB, Abdullah telah mengambil tindakan memecat seorang AJK Bahagian, Mohamad Che’I gara-gara mencabar kerusi ketua bahagian yang disandang beliau.
Surat pemecatan yang dipertikaikan

Kandungan surat pemecatan itu tidak menyatakan sebab musababnya dan peliknya surat yang menggunakan kepala surat Umno Bahagian Rantau Panjang bertanda tangan Abdullah tidak menyatakan tarikhnya.

Kesahihan surat berkenaan boleh dipertikaikan kerana tiada salinan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri, manakala surat yang tidak bertarikh itu hanya disahkan penerimaan oleh ibu pejabat Umno pada 10 September lepas. Walhal penerima hanya menerima surat berkenaan melalui tangan jam 10.00 pagi, 3 Oktober lepas.
Mohamad Che'I

Lebih mengejutkan lagi Abdullah juga telah bertindak menyingkirkan Penghulu Kg. Baroh Pial, Wan Yaakob Wan Ismail dari rakitnya kerana mencurigai kesetiaan orang kuatnya itu. Wan Yaakob dikatakan tidak boleh dipercayai kerana gagal menghalang anak dan menantunya yang turutbertanding AJK Pemuda dan Wanita berkiblat kepada bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail.


Sepatutnya dalam suasana pemilihan sebegini, perkara pecat memecat tidak berlaku walaupun ketua bahagian berkuasa penuh untuk melakukannya. Demi perpaduan parti dan mengelakkan persengketaan, biarlah tarikh 19 Oktober yang menentukan segala-galanya, untung batu tenggelam manakala untung sabut timbul. – HUSIN ALBI

Monday, September 23, 2013

UMNO RANTAU PANJANG KEMBALI BERGOLAK

Masih ada yang tidak berpuas hati walaupun semua mesyuarat cawangan dalam Umno Bahagian Rantau Panjang diadakan serentak pada 13 September lepas setelah mendapat arahan Badan Perhubungan Umno Negeri agar mana-mana cawangan yang telah selesai bermesyuarat perlu mengadakan mesyuarat semula dan dipantau oleh badan berkenaan.

Ahli berkumpul di pejabat bahagian yang ditutup
Khabarnya kira-kira 40 dari 160 cawangan masih gagal bermesyuarat mengikut peraturan ditetapkan, ada yang memulakan mesyuarat jam 6.30 petang kerana terpaksa menunggu ahli, ada juga pemantau yang terpaksa pergi dari rumah ke rumah untuk mendapatkan tanda tangan kehadiran.

Tidak kurang juga berkumpul pada dua tempat yang berbeza untuk mengadakan mesyuarat dan terdapat juga ketua-ketua cawangan yang sedia ada mengadakan mesyuarat di tempat yang pro kepada mereka.

Manakala ada juga individu menanda tangani kehadiran mesyuarat untuk individu yang tidak hadir semata-mata untuk mencukupkan korum mesyuarat.

Itu semua dilakukan demi agenda individu-individu tertentu sebagai ‘Ketua Bahagian Umno Rantau Panjang’. 

Konflik Bermula Kembali

Sehari selepas mesyuarat serentak iaitu pada 14 September sekali lagi ahli-ahli yang ingin menawarkan diri untuk bertanding gempar apabila pejabat bahagian yang terletak bersebelahan Hospital Daerah Pasir Mas, Lati , ditutup.

Kebanyakkan mereka pulang dengan hampa kerana tidak dapat mengambil borang penamaan pada hari berkenaan seperti mana arahan ibupejabat Umno borang-borang boleh diambil bermula pada tarikh tersebut di semua pejabat bahagian.

Ada kalangan ahli yang menelefon ketua bahagian memaklumkan perkara berkenaan, namun jawapan yang diterima agak menghampakan. Pelbagai alasan diberi antaranya pejabat tidak dibuka pada hari Sabtu dan masih belum menerima borang daripada Badan Perhubungan Umno Negeri.

Terdapat suara sumbang di kalangan ahli menyalahkan ketuanya Datuk Abdullah Mat Yassim akan insiden yang berlaku, sampai ada yang berkata apa salahnya borang diambil di pejabat bahagian, ianya boleh mengeratkan lagi suasana kekeluargaan di kalangan ahli yang bakal bertanding.
Ahli menyerah borang di pejabat perhubungan negeri

Kenyataan mereka itu ada asasnya, apa yang berlaku di Bahagian Kubang Kerian berlainan sama sekali di mana kesemua yang bakal bertanding mengambil borang dalam suasana yang harmoni di pejabat bahagian berkenaan walaupun menghadapi masalah yang sama dengan Bahagian Rantau Panjang.

Begitulah fenomena yang berlaku sebelum bertanding dalam Umno Bahagian ini, sehinggalah ahli-ahli terpaksa mengambil dan menyerahkan  borang penamaan calon di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Kelantan, Datuk Hassan Harun berkata, langkah tersebut untuk menghalang berlaku kegiatan mensabotaj kertas pencalonan sehingga menyebabkan ada calon yang sepatutnya layak tetapi gagal.

 Perhubungan Ambil Alih

             Pihak yang terbabit di bahagaian seharusnya bertindak secara bijaksana bagi memastikan peristiwa silam tidak berulang kembali. Sejarah pergolakan bermula pada 7 Ogos, 2009 menjurus kepada pengantungan Umno bahagian selama beberapa bulan dan diletakkan di bawah Badan Perhubungan Umno Negeri harus menjadi teladan. 

              Ketika itu Abdullah mengadakan persidangan perwakilan di Dewan Kolej Kemahiran 
Tinggi Mara, Lubok Jong di Pasir Mas manakala kumpulan yang diketuai Pengerusi Tetap 
Umno bahagian itu, Che Alwi Che Haron mengadakan persidangan perwakilan di Dewan 
Umno Kampung Lati.
 
Abdullah bersama kumpulannya mengambil dan menyerahkan borang di pejabat Umno bahagian
  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyelar tindakan 
sebegini menjejas imej parti. 
 
               Beberapa bulan selepas itu menyaksikan konflik yang semakin parah dengan 
pelbagai ugutan yang merugikan parti antaranya ramai pemimpin di peringkat cawangan 
mengancam mahu keluar dari parti.   
 
               Paling menyedihkan dalam situasi begitu Abdullah bagaikan dirasuk bertindak 
memecat 36 Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) dan tiga Ketua Penyelia Pembangunan 
Mukim (KPPM) dipecat.
 
               Kekalahan Demi Kekalahan
 
               Kemelut yang melanda berpunca apabila Lembaga Disipilin Umno yang 
dipengerusikan oleh Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail memutuskan Datuk 
Mohd Zain Ismail, Ghazali Ismail dan beberapa yang lain digantung keahlian selama tiga 
tahun berdasarkan Perkara 5 Tataetika Ahli dalam Perlembagaan Umno kerana didapati 
melakukan kesalahan rasuah politik sebelum persidangan.
 
               Selain itu, ada desas-desus yang mengatakan mereka juga menaja calon bebas 
Parlimen Rantau Panjang Isma Airfath Hasanuddin yang lebih dikenali sebagai ‘Kosing ‘ 
pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang meyaksikan Umno kalah kesemua kerusi yang 
dipertanding.
 
               Sejarah silam yang berlaku pada 1982 antara Hussein Ahmad dengan Hassan 
Abdullah semasa persidangan bahagian harus dijadikan iktibar. Perasaan tidak puas hati 
akan perjalanan mesyuarat sehingga berlakunya insiden tembakan senjata api ke udara 
merupakan titik hitam dalam sejarah Umno bahagian.
 
               Bermula dari situ Umno bahagian semakin goyah dan menerima nasib malang, 
calon yang bertanding Parlimen Rantau Panjang bermula Hussein Ahmad, Abdullah Mat 
Yassim, Afandi Yusoff dan Ghazali Ismail mengalami kekalahan demi kekalahan.
 
               Senario yang berlaku seharusnya menjadi pencetus kepada ahli untuk bangkit agar 
Umno bahagian berada di landasan yang betul. Bukan individu yang dipilih tetapi kepentingan 
parti harus didahului. 
 
               Setiap individu yang bertanding ada perbezaan dan kelebihan masing-masing, 
hendaknya perwakilan yang bakal memilih pada 19 Oktober nanti bertindak matang dengan 
tidak memilih calon yang mempunyai satu persamaan iaitu pernah mengkhianati parti dan 
kalah dalam pilihan raya. – HUSIN ALBI

Wednesday, September 11, 2013

UMNO RANTAU PANJANG PERLU BERUBAH


     “Umno Rantau Panjang perlukan sesuatu yang baru, berubah dari tahap lama ….tiada apa yang istimewa selama ini. Ketua mesti ditukar…agenda peribadi melebihi kehendak akar umbi selama ini”, itulah luahan kebanyakan ahli menjelang mesyuarat agongnya Oktober ini, samada di kedai kopi atau di mana-mana sekalipun.
     Pelbagai pandangan dan luahan sepanjang tinjauan dibuat, hakikatnya lebih 40 tahun ahli-ahli merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
     Ramai yang mencadangkan agar pucuk pimpinan ditukar, nafas baru harus diberi bagi mentranformasikan parti, seterusnya bagi memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
     Ekoran itu pelbagai manifesto dikeluarkan oleh calon-calon yang bakal bertanding dan tidak kurang juga mengekalkan agenda lama bagi penerusan kuasa dengan pelbagai slogan seperti ‘Mudoh Baso Sener Kiro’.
     Antara yang bakal memberi tentangan hebat ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Shaari Mat Hussin yang berpengalaman lebih 18 tahun berkecimpung dalam parti.

Kekalahan Barisan Nasional Menjadi Dorongan

     Kata beliau kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang lalu menjadi pendorong kenapa menawarkan diri bertanding, bagi membolehkan parti merangka strategi lebih menyeluruh menghadapi PRU akan datang.
Shaari Mat Hussain
     Agenda yang akan dibawa Shaari tidak berapa jelas, cuma menyebut meneruskan perjuangan parti bagi membela kepentingan rakyat terutama masyarakat di Rantau Panjang.
     Selain Shaari, golongan yang megelarkan diri mereka pengerak tranformasi juga bakal memberi cabaran yang sengit dengan slogan ‘Pilihlah Perubahan dan Pembaharuan, Pilihlah Tranformasi’ dengan agenda ‘Tolak Politik Wang, Tolak politik Perpecahan, Tolak Politik Undur Ke Belakang’, mesej jelas yang ingin disampaikan kepada ahli ‘Jika hari ini anda dibeli, maka hari esok anda akan dijual’
     Peneraju kumpulan ini ialah AJK Bahagian, Mohamad Che’I atau lebih dikenali dengan Cikgu Mat, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh yang juga merupakan Ketua Cawangan Cabang Tiga.

Golongan Profesional

     Khabarnya beliau yang berkecimpung dalam arena politik kira-kira 20 tahun tidak keseorangan, di belakang tabir ramai golongan profesional, ahli perniagaan, pendidik dan lain-lain lagi. Mereka merupakan anak tempatan yang mengukir nama dalam pelbagai bidang, banyak menyumbang ide kepada percambahan minda bagi merealitikan hasrat akar umbi ke arah Rantau Panjang Baru.
Mohamad Che’I
     Antara manifesto yang  tersenarai, pertama, untuk Umno Bahagian Rantau Panjang – sebuah bangunan milik Umno sepenuhnya, pendemokrasian dalam pengurusan parti, persiapan melahirkan pelapis pemimpin parti, pemerkasaan program pemulihan parti dan fokus utama kepada kehendak akar umbi.
     Kedua, untuk cawangan Umno dalam bahagian – pengiktirafan kepada kedudukan ketua cawangan, ahli cawangan didahulukan dan pengundi diutamakan, pertemuan secara berkala pemimpin bahagian dan cawangan, keterbukaan dalam memberi pandangan dan pendapat, dan mengwujudkan sistem cawangan angkat.
     Ketiga, untuk Pusat Daerah Mengundi dalam Dun dan Parlimen – penubuhan awal dan ada plan jangka panjang, sistem pengumpulan maklumat dan data lebih efisyen, sesi bimbingan dan motivasi kerja secara berterusan, meningkat upayakan kemahiran pengurusan, agihan maklumat dan info terkini.
     Keempat, untuk DUN Gual Periok, Bukit Tuku dan Meranti – sesi brainstorming/pos mortem, penekanan kepada penyatuan dan penyusunan, perancangan program yang mesra berkesan dan telus, pemilihan kepimpinan DUN yang menepati aspirasi dan penyelarasan dalam agihan peruntukan.

Mekanisme Baru

     Kelima, untuk Parlimen Rantau Panjang – perlantikan pegawai sokongan yang berwibawa, mengwujudkan strategi bagi meningkatkan undi, gerakan secara lebih tersusun dan menyeluruh, bersifat terbuka, membina dan berdaya saing, bermaklumat, prihatin dan berketrampilan.
Transformasi Politik
     Keenam, untuk Kelantan dan Kerajaan Pusat – mekanisme baru membantu Pengerusi Perhubungan Negeri, bersedia dibimbing, dilatih dan mempraktikkan, menyebar luaskan info pihak kerajaan pusat, bersedia ke arah mencapai majoriti 2/3, meletakkan kepentingan parti melebihi diri.
     Manakala calon-calon lain yang bertanding terutama penyandang Datuk Abdullah Mat Yassim dan bekas ketua bahagian Datuk Mohd Zain Ismail kelihatan agak sibuk dengan agenda masing-masing.
     Bagi mereka, populariti yang dimiliki di bahagian sudah cukup untuk didendangkan sebagai senjata utama bagi meraih undi pada pemilihan nanti. Jasa yang telah mereka taburkan sebelum ini merupakan satu sandaran, itulah manifesto yang dibawa dengan penuh yakin untuk melangkah ke gelanggang.

Nafsu Besar

     Malah ada di antara mereka yang bertanding telah pun melantik kabinet bayangan dengan melantik Penggawa dan Penghulu semata-mata untuk meraih sokongan. Mungkin ini adalah salah satu manifesto yang dibawa sejak turun temurun, bagi memastikan ‘nafsu besar’ itu tercapai.
Politik Wang
     Tidak cukup dengan itu, ada juga golongan yang menukar ahli cawangan yang tidak pro kepada mereka ke cawangan lain bertujuan untuk mengagalkan mesyuarat, itu juga merupakan satu manifesto!!!
     Sesetengahnya amat berbudi sekali dengan menawarkan duit minyak kepada ahli-ahli yang berada di luar cawangan semata-mata untuk mencukupkan korum mesyuarat cawangan pada 13 September ini.
     Segala-galanya ini dilakukan demi kuasa, itulah manifesto yang perlu diutamakan, berbakti kepada mereka dengan harapan agar setiap 10 sen yang diberi bakal menghasilkan 20 sen.
     Sekiranya fenomena ini masih berleluasa berlaku, tidak mustahil Umno bahagian bakal menerima nasib yang sama seperti apa yang berlaku pada 22 Julai, 2010, apabila Majlis Tertinggi Umno memutuskan pengurusan dan pentadbiran UMNO Bahagian Rantau Panjang diambil alih oleh badan perhubungan negeri. Sejarah tidak pernah melupakan ahli-ahlinya, hanya ahli-ahli yang alpa tentangnya. – Husin Albi 

Thursday, September 5, 2013

MASAM MANIS UMNO RANTAU PANJANG – SATU ANALISA



      Sengit!!! Enam penjuru!!! Itulah yang menjadi sebutan hangat di kalangan ahli-ahli Umno Bahagian Rantau Panjang menjelang pemilihan ketua bahagian mereka Oktober ini. Antara nama yang disebut-sebut bakal bertanding ialah Datuk Abdullah Mat Yassim (penyandang), Datuk Mohd Zain Ismail (bekas ketua bahagian), Datuk Shaari Mat Hussin (timbalan ketua bahagian), Mamat Jusoh (veteran), Mohamad Che’I (AJK Bahagian) dan Din Mamat (AJK Bahagian).
Tan Sri Hussein Ahmad
     Sekiranya ini berlaku, ianya merupakan satu sejarah dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno di seluruh negara.  Setakat ini yang telah mengesahkan untuk bertanding ialah Abdullah, Mamat dan Mohamad, manakala yang lain masih mendiamkan diri.
      Senario yang berlaku selepas kepimpinan Tan Sri Hussein Ahmad, berasal dari Bukit Panau, Tanah Merah, atau lebih dikenali Cikgu Sin selama 30 tahun di bahagian itu menyaksikan pelbagai krisis kepimipinan berlaku bermula 29 September, 1995.
Datuk Mohd Zain Ismail
      Selepas era Hussein, Umno Rantau Panjang bagaikan ‘hidup segan, mati tak mahu’,  ianya dipimpin oleh seorang pentadbir awam iaitu Datuk Mohd Zain Ismail, berasal dari Kg Alor Lenggok, Repek, Pasir Mas. Bermula dari saat inilah Umno bahagian terus bergolak di mana pada 17 Mac, 1996, beliau telah disingkirkan dari UMNO kerana undi tidak percaya oleh jawatankuasa bahagian yang diketuai olen naib ketua. Namun isu ini telah diselesaikan dalam semangat kekeluargaan UMNO Kelantan.
      Sifat dendam Mohd Zain tidak berkubur begitu saja, sekali lagi beliau dikenakan tindakan disipilin digantung keahlian parti selama tiga tahun bersama seorang lagi tokoh pada 24 September, 2008, kerana mensabotaj parti selepas gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian apabila kalah kepada Datuk Abdullah Mat Yassim.

Krisis Kepimpinan
      Walaupun tempoh Abdullah agak pendek selepas mengambil alih daripada Mohd Zain pada 23 September, 2008, pelbagai usaha dilakukan beliau bagi meyakinkan rakyat namun pokok mana yang tidak bergoyang apabila ditiup angin.
Datuk Abdullah Mat Yassim

      Pelbagai tuduhan dilontarkan oleh parti lawan sepanjang kariernya dalam politik, antaranya skandal dengan isteri orang sampai ada yang mengelarnya ‘Dolah Kaki Betina’, mungkin ianya satu fitnah untuk menjatuhkan beliau. Hakikatnya segala tohmahan itu menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang ketua bahagian.
      Kesilapan besar yang telah beliau lakukan ialah menerima kembali dua tokoh yang telah digantung keahlian atas tindakan mensabotaj parti agar segala permasalahan dalaman itu dapat dileraikan sehingga beliau sanggup berkorban tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas demi memberi laluan kepada pengkhianat parti untuk bertanding.
      Akhirnya tindakan beliau itu ibarat menolong anjing tersepit apabila Mohd Zain dengan terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding semula kepada ahli-ahli dalam kemnya. Apa yang lebih mendukacitakan lagi apabila kumpulan Mohd Zain mengadakan mensyuarat kali kedua di Cawangan Kempas dengan niat untuk menjatuhkan beliau sebagai ketua cawangan di situ.
      Lebih memeritkan lagi penentangan terhadap kepimpinan Abdullah juga datang dari timbalannya sendiri Datuk Shaari Mat Hussain. Shaari pada awalnya dilihat sebagai seorang yang boleh dipercayai dan seangkatan dengan beliau ketika merencanakan misi menjatuhkan Mohd Zain pada 2008.

                                                                     Dua Kali Kalah PRU
     
Datuk Shaari Mat Hussain
Mungkin Shaari beranggapan Abdullah seorang pengkhianat kepada rakan seperjuangan dan parti. Beliau mungkin merasakan tindakan Abdullah melantik dua tokoh yang mengkhianati parti sebagai Pengarah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi DUN Gual Periok dan Bukit Tuku sebelum PRU sebagai tindakan yang tidak boleh dimaafkan.
     Tanggapan Shaari ada juga betulnya kerana beliau adalah merupakan calon DUN Gual Periok dalam PRU yang lalu. Kesukaran yang dihadapinya dalam menjana kempen sebelum dan semasa PRU menjadi salah satu penyebab kenapa beliau melawan ketuanya. Namun keupayaan Shaari untuk melawan dilihat agak lemah kerana beliau hanya popular di DUN Gual Periok sahaja.
      Tambahan pula keupayaan beliau untuk meyakinkan khalayak ramai melalui pidato kurang menyerlah, selama ini pun sejak beliau menerajui sayap pemuda suaranya tidaklah lantang. Beliau tidak banyak berucap ketika menghadiri majlis, orang lain yang berucap, banyak menggunakan tokoh-tokoh veteran seperti Mustapha Yaakub sebagai batu loncatan.
      Kelebihan yang ada pada beliau hanya komunikasi bersemuka, sesiapa sahaja yang berdepan dengannya pasti akan tergoda dengan pujuk rayunya, tetapi adakah Umno memerlukan pemimpin seperti ini dalam menepis tomahan dari parti lawan yang lebih ke hadapan mengharungi dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar.
      Krisis demi krisis yang berlaku bukan saja menjejaskan dalaman parti, malah ianya turut dirasai di peringkat pilihanraya umum. Beberapa kerusi yang dulunya milik mutlak Umno jatuh ke tangan Pas dan lebih teruk lagi pada PRU 12 & 13 Umno kalah kesemua kerusi (P23 Rantau Panjang, N14 Meranti, N15 Gual Periok dan N16 Bukit Tuku).

Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri Ambil Alih
      Walaupun kalah dalam dua PRU berturut-turut,  tokoh-tokoh yang terlibat seolah-olah tidak mengambil iktibar akan fenomena yang berlaku. Apa yang lebih penting bagi mereka mengekalkan kuasa demi survival politik mereka, pelbagai cara dilakukan bagi tujuan itu, sehinggalah pemilihan peringkat cawangan kini diletakkan di bawah Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri bagi membolehkan mesyuarat diadakan semula pada 13 September ini.
Datuk Seri Mustapa Mohamed
       Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat kenyataan terdapat cawangan yang telah bermesyuarat tanpa mengikut peraturan. Langkah meletakkan di bawah jawatankuasa tersebut bertujuan mengelak berlaku penganiayaan dalam kalangan anggota Umno di cawangan terbabit.
      Mustapa menyeru agar ahli Umno akur dengan jawatankuasa pemilihan tersebut untuk mengelak kontroversi dan sengketa yang hanya akan memburukkan imej parti. Pemimpin peringkat cawangan dan bahagian yang akan dipilih merupakan barisan pemimpin yang bakal berdepan pilihan raya umun ke-14 dan menjadi penentu kepada kejayaan parti.  
      Pemimpin yang hendak dipilih mestilah benar-benar bersih, mampu membuat kerja dan komited, bukan yang hendakkan jawatan kerana ada motif tertentu.

Sahut Cabaran
Mohamad Che’I
      Kenyataan Mustapa secara tidak langsung merupakan satu sindiran sinis kepada pemimpin-pemimpin Umno Rantau Panjang yang sedia ada. Ianya menggambarkan perlunya satu tranformasi kepimpinan bagi menguatkan jentera Umno bagi memenangi PRU akan datang.
     Bermula dari sinilah aliran tranformasi kepimpinan bergerak laju di bahagian, beberapa individu tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua bahagian. Mungkin ada rasionalnya kenapa mereka berbuat demikian, bab kata pepatah kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
      Antaranya AJK Bahagian, Mohamad Che’I atau lebih dikenali dengan Cikgu Mat, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh yang juga merupakan Ketua Cawangan Cabang Tiga. Mesej yang dibawa beliau adalah jelas iaitu menyahut seruan semata-mata demi kepentingan parti dan memantapkan jentera bagi menghadapi PRU ke-14.
    
Tanah milik Umno di Kedai Lama
Aliran perjuangan yang dibawa antaranya mengwujudkan bangunan sendiri milik Umno bahagian bagi memperkasakan aktiviti untuk di manfaatkan ahli di peringkat akar umbi. Pendedahanya mengenai tanah milik Umno di Kedai Lama, berhadapan Balai Polis Rantau Panjang, bakal membuka mata ahli-ahli bahawasanya Umno bahagian mempunya aset yang selama ini tidak dimajukan. Selama ini pejabat Umno bahagian sentiasa berubah tempat setiap kali bertukar pucuk pimpinan, satu persoalan yang harus dikupas oleh ahli-ahli kenapa berlaku sedemikian.
     Seperkara yang agak menarik mengenai agenda yang bakal dibawa beliau ialah perlantikan pegawai sokongan yang berwibawa bagi menrancang strategi bagi meningkatkan undi secara lebih menyeluruh. Mereka yang bakal dilantik ini lebih bersifat terbuka, tahan lasak, bermaklumat, prihatin dan berketrampilan.

Amanat Presiden
     Seorang tokoh veteran Mamat Jusoh, bekas setiausaha bahagian dan ketua pemuda pada zaman Hussein Ahmad juga dikhabarkan bakal menyahut transformasi dan keterbukaan pada pemilihan kali ini.
Mamat Jusoh
     Walaupun agenda perjuangan tidak dijelaskan, namun hasratnya untuk bertanding menggambarkan bahawasanya Umno bahagian berada dalam keadaan tenat dan sesuatu perlu dilakukan.
     Manakala seorang lagi tokoh yang disebut-sebut bakal bertanding ialah Din Mamat, berasal dari Kg. Kekabu, Pasir Mas, juga merupakan seorang politikus sezaman dengan Hussein yang kini memegang jawatan AJK Bahagian.
     Seharusnya pertandingan sengit yang bakal berlaku Oktober nanti dilihat dari aspek positif, demokrasi dalam Umno perlu dihidupkan kembali bukan berpandukan kepada kem-kem tertentu.
 Datuk Seri Najib Tun Razak
     Perwakilan ke peringkat bahagian kenalah bijak memainkan peranan sekiranya ingin melihat Umno Rantau Panjang berubah, kalau ada suara yang sanggup memperbetulkannya, kenapa perlu berkata tidak?
      Amanat Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak 
perlu dihayati untuk kepentingan bersama, 
“Kita harap pemimpin yang dipilih nanti boleh diterima 
parti dan rakyat...kita tidak mahu pemimpin yang 
berjaya dalam parti tetapi juga dalam pilihan raya. 
Kita harap Umno boleh diterima sebagai parti pilihan 
rakyat, sebab itu kita kena ketengahkan barisan 
pemimpin yang diterima rakyat dan mampu 
mencerminkan imej yang positif." – Husin Albi