MASAM MANIS UMNO RANTAU PANJANG – SATU ANALISA

      Sengit!!! Enam penjuru!!! Itulah yang menjadi sebutan hangat di kalangan ahli-ahli Umno Bahagian Rantau Panjang menjelang pemilihan ketua bahagian mereka Oktober ini. Antara nama yang disebut-sebut bakal bertanding ialah Datuk Abdullah Mat Yassim (penyandang), Datuk Mohd Zain Ismail (bekas ketua bahagian), Datuk Shaari Mat Hussin (timbalan ketua bahagian), Mamat Jusoh (veteran), Mohamad Che’I (AJK Bahagian) dan Din Mamat (AJK Bahagian).
Tan Sri Hussein Ahmad
     
    Sekiranya ini berlaku, ianya merupakan satu sejarah dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno di seluruh negara.  Setakat ini yang telah mengesahkan untuk bertanding ialah Abdullah, Mamat dan Mohamad, manakala yang lain masih mendiamkan diri.
      
    Senario yang berlaku selepas kepimpinan Tan Sri Hussein Ahmad, berasal dari Bukit Panau, Tanah Merah, atau lebih dikenali Cikgu Sin selama 30 tahun di bahagian itu menyaksikan pelbagai krisis kepimipinan berlaku bermula 29 September, 1995.

Datuk Mohd Zain Ismail
      
    Selepas era Hussein, Umno Rantau Panjang bagaikan ‘hidup segan, mati tak mahu’,  ianya dipimpin oleh seorang pentadbir awam iaitu Datuk Mohd Zain Ismail, berasal dari Kg Alor Lenggok, Repek, Pasir Mas. Bermula dari saat inilah Umno bahagian terus bergolak di mana pada 17 Mac, 1996, beliau telah disingkirkan dari UMNO kerana undi tidak percaya oleh jawatankuasa bahagian yang diketuai olen naib ketua. Namun isu ini telah diselesaikan dalam semangat kekeluargaan UMNO Kelantan.
      
    Sifat dendam Mohd Zain tidak berkubur begitu saja, sekali lagi beliau dikenakan tindakan disipilin digantung keahlian parti selama tiga tahun bersama seorang lagi tokoh pada 24 September, 2008, kerana mensabotaj parti selepas gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian apabila kalah kepada Datuk Abdullah Mat Yassim.

Krisis Kepimpinan
      
    Walaupun tempoh Abdullah agak pendek selepas mengambil alih daripada Mohd Zain pada 23 September, 2008, pelbagai usaha dilakukan beliau bagi meyakinkan rakyat namun pokok mana yang tidak bergoyang apabila ditiup angin.
Datuk Abdullah Mat Yassim

    Pelbagai tuduhan dilontarkan oleh parti lawan sepanjang kariernya dalam politik, antaranya skandal dengan isteri orang sampai ada yang mengelarnya ‘Dolah Kaki Betina’, mungkin ianya satu fitnah untuk menjatuhkan beliau. Hakikatnya segala tohmahan itu menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang ketua bahagian.
     
    Kesilapan besar yang telah beliau lakukan ialah menerima kembali dua tokoh yang telah digantung keahlian atas tindakan mensabotaj parti agar segala permasalahan dalaman itu dapat dileraikan sehingga beliau sanggup berkorban tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas demi memberi laluan kepada pengkhianat parti untuk bertanding.
      
    Akhirnya tindakan beliau itu ibarat menolong anjing tersepit apabila Mohd Zain dengan terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding semula kepada ahli-ahli dalam kemnya. Apa yang lebih mendukacitakan lagi apabila kumpulan Mohd Zain mengadakan mensyuarat kali kedua di Cawangan Kempas dengan niat untuk menjatuhkan beliau sebagai ketua cawangan di situ.
     
    Lebih memeritkan lagi penentangan terhadap kepimpinan Abdullah juga datang dari timbalannya sendiri Datuk Shaari Mat Hussain. Shaari pada awalnya dilihat sebagai seorang yang boleh dipercayai dan seangkatan dengan beliau ketika merencanakan misi menjatuhkan Mohd Zain pada 2008.

Dua Kali Kalah PRU

     
Datuk Shaari Mat Hussain
Mungkin Shaari beranggapan Abdullah seorang pengkhianat kepada rakan seperjuangan dan parti. Beliau mungkin merasakan tindakan Abdullah melantik dua tokoh yang mengkhianati parti sebagai Pengarah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi DUN Gual Periok dan Bukit Tuku sebelum PRU sebagai tindakan yang tidak boleh dimaafkan.
     
    Tanggapan Shaari ada juga betulnya kerana beliau adalah merupakan calon DUN Gual Periok dalam PRU yang lalu. Kesukaran yang dihadapinya dalam menjana kempen sebelum dan semasa PRU menjadi salah satu penyebab kenapa beliau melawan ketuanya. 

    Namun keupayaan Shaari untuk melawan dilihat agak lemah kerana beliau hanya popular di DUN Gual Periok sahaja.
      
    Tambahan pula keupayaan beliau untuk meyakinkan khalayak ramai melalui pidato kurang menyerlah, selama ini pun sejak beliau menerajui sayap pemuda suaranya tidaklah lantang. 

    Beliau tidak banyak berucap ketika menghadiri majlis, orang lain yang berucap, banyak menggunakan tokoh-tokoh veteran seperti Mustapha Yaakub sebagai batu loncatan.
      
    Kelebihan yang ada pada beliau hanya komunikasi bersemuka, sesiapa sahaja yang berdepan dengannya pasti akan tergoda dengan pujuk rayunya, tetapi adakah Umno memerlukan pemimpin seperti ini dalam menepis tomahan dari parti lawan yang lebih ke hadapan mengharungi dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar.
      
    Krisis demi krisis yang berlaku bukan saja menjejaskan dalaman parti, malah ianya turut dirasai di peringkat pilihanraya umum. Beberapa kerusi yang dulunya milik mutlak Umno jatuh ke tangan Pas dan lebih teruk lagi pada PRU 12 & 13 Umno kalah kesemua kerusi (P23 Rantau Panjang, N14 Meranti, N15 Gual Periok dan N16 Bukit Tuku).

Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri Ambil Alih
      
    Walaupun kalah dalam dua PRU berturut-turut,  tokoh-tokoh yang terlibat seolah-olah tidak mengambil iktibar akan fenomena yang berlaku. 

    Apa yang lebih penting bagi mereka mengekalkan kuasa demi survival politik mereka, pelbagai cara dilakukan bagi tujuan itu, sehinggalah pemilihan peringkat cawangan kini diletakkan di bawah Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri bagi membolehkan mesyuarat diadakan semula pada 13 September ini.
Datuk Seri Mustapa Mohamed
       
    Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat kenyataan terdapat cawangan yang telah bermesyuarat tanpa mengikut peraturan. 

    Langkah meletakkan di bawah jawatankuasa tersebut bertujuan mengelak berlaku penganiayaan dalam kalangan anggota Umno di cawangan terbabit.
      
    Mustapa menyeru agar ahli Umno akur dengan jawatankuasa pemilihan tersebut untuk mengelak kontroversi dan sengketa yang hanya akan memburukkan imej parti. 

    Pemimpin peringkat cawangan dan bahagian yang akan dipilih merupakan barisan pemimpin yang bakal berdepan pilihan raya umun ke-14 dan menjadi penentu kepada kejayaan parti.  
      
    Pemimpin yang hendak dipilih mestilah benar-benar bersih, mampu membuat kerja dan komited, bukan yang hendakkan jawatan kerana ada motif tertentu.

Sahut Cabaran
Mohamad Che’I
     
    Kenyataan Mustapa secara tidak langsung merupakan satu sindiran sinis kepada pemimpin-pemimpin Umno Rantau Panjang yang sedia ada. 
   
     Ianya menggambarkan perlunya satu tranformasi kepimpinan bagi menguatkan jentera Umno bagi memenangi PRU akan datang.
     
    Bermula dari sinilah aliran tranformasi kepimpinan bergerak laju di bahagian, beberapa individu tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua bahagian. 

    Mungkin ada rasionalnya kenapa mereka berbuat demikian, bab kata pepatah kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
      
    Antaranya AJK Bahagian, Mohamad Che’I atau lebih dikenali dengan Cikgu Mat, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh yang juga merupakan Ketua Cawangan Cabang Tiga. 

    Mesej yang dibawa beliau adalah jelas iaitu menyahut seruan semata-mata demi kepentingan parti dan memantapkan jentera bagi menghadapi PRU ke-14.

    
Tanah milik Umno di Kedai Lama

    Aliran perjuangan yang dibawa antaranya mengwujudkan bangunan sendiri milik Umno bahagian bagi memperkasakan aktiviti untuk di manfaatkan ahli di peringkat akar umbi. 

    Pendedahanya mengenai tanah milik Umno di Kedai Lama, berhadapan Balai Polis Rantau Panjang, bakal membuka mata ahli-ahli bahawasanya Umno bahagian mempunya aset yang selama ini tidak dimajukan. 

    Selama ini pejabat Umno bahagian sentiasa berubah tempat setiap kali bertukar pucuk pimpinan, satu persoalan yang harus dikupas oleh ahli-ahli kenapa berlaku sedemikian.
     
    Seperkara yang agak menarik mengenai agenda yang bakal dibawa beliau ialah perlantikan pegawai sokongan yang berwibawa bagi menrancang strategi bagi meningkatkan undi secara lebih menyeluruh. 

    Mereka yang bakal dilantik ini lebih bersifat terbuka, tahan lasak, bermaklumat, prihatin dan berketrampilan.

Amanat Presiden
     
    Seorang tokoh veteran Mamat Jusoh, bekas setiausaha bahagian dan ketua pemuda pada zaman Hussein Ahmad juga dikhabarkan bakal menyahut transformasi dan keterbukaan pada pemilihan kali
ini.
Mamat Jusoh
     
    Walaupun agenda perjuangan tidak dijelaskan, namun hasratnya untuk bertanding menggambarkan bahawasanya Umno bahagian berada dalam keadaan tenat dan sesuatu perlu dilakukan.
     
    Manakala seorang lagi tokoh yang disebut-sebut bakal bertanding ialah Din Mamat, berasal dari Kg. Kekabu, Pasir Mas, juga merupakan seorang politikus sezaman dengan Hussein yang kini memegang jawatan AJK Bahagian.
     
    Seharusnya pertandingan sengit yang bakal berlaku Oktober nanti dilihat dari aspek positif, demokrasi dalam Umno perlu dihidupkan kembali bukan berpandukan kepada kem-kem tertentu.

Datuk Seri Najib Tun Razak
     
    Perwakilan ke peringkat bahagian kenalah bijak memainkan peranan sekiranya ingin melihat Umno Rantau Panjang berubah, kalau ada suara yang sanggup memperbetulkannya, kenapa perlu berkata tidak?

     Amanat Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dihayati untuk kepentingan bersama, 

    “Kita harap pemimpin yang dipilih nanti boleh diterima parti dan rakyat...kita tidak mahu pemimpin yang berjaya dalam parti tetapi juga dalam pilihan raya. 

    Kita harap Umno boleh diterima sebagai parti pilihan rakyat, sebab itu kita kena ketengahkan barisan pemimpin yang diterima rakyat dan mampu mencerminkan imej yang positif", kata Najib.  – Husin Albi

Comments

Popular Posts