UMNO RANTAU PANJANG KEMBALI BERGOLAK


Masih ada yang tidak berpuas hati walaupun semua mesyuarat cawangan dalam Umno Bahagian Rantau Panjang diadakan serentak pada 13 September lepas setelah mendapat arahan Badan Perhubungan Umno Negeri agar mana-mana cawangan yang telah selesai bermesyuarat perlu mengadakan mesyuarat semula dan dipantau oleh badan berkenaan.

Ahli berkumpul di pejabat bahagian yang ditutup

Khabarnya kira-kira 40 dari 160 cawangan masih gagal bermesyuarat mengikut peraturan ditetapkan, ada yang memulakan mesyuarat jam 6.30 petang kerana terpaksa menunggu ahli, ada juga pemantau yang terpaksa pergi dari rumah ke rumah untuk mendapatkan tanda tangan kehadiran.

Tidak kurang juga berkumpul pada dua tempat yang berbeza untuk mengadakan mesyuarat dan terdapat juga ketua-ketua cawangan yang sedia ada mengadakan mesyuarat di tempat yang pro kepada mereka.

Manakala ada juga individu menanda tangani kehadiran mesyuarat untuk individu yang tidak hadir semata-mata untuk mencukupkan korum mesyuarat.

Itu semua dilakukan demi agenda individu-individu tertentu sebagai ‘Ketua Bahagian Umno Rantau Panjang’.
 

Konflik Bermula Kembali

Sehari selepas mesyuarat serentak iaitu pada 14 September sekali lagi ahli-ahli yang ingin menawarkan diri untuk bertanding gempar apabila pejabat bahagian yang terletak bersebelahan Hospital Daerah Pasir Mas, Lati , ditutup.

Kebanyakkan mereka pulang dengan hampa kerana tidak dapat mengambil borang penamaan pada hari berkenaan seperti mana arahan ibupejabat Umno borang-borang boleh diambil bermula pada tarikh tersebut di semua pejabat bahagian.

Ada kalangan ahli yang menelefon ketua bahagian memaklumkan perkara berkenaan, namun jawapan yang diterima agak menghampakan. Pelbagai alasan diberi antaranya pejabat tidak dibuka pada hari Sabtu dan masih belum menerima borang daripada Badan Perhubungan Umno Negeri.

Terdapat suara sumbang di kalangan ahli menyalahkan ketuanya Datuk Abdullah Mat Yassim akan insiden yang berlaku, sampai ada yang berkata apa salahnya borang diambil di pejabat bahagian, ianya boleh mengeratkan lagi suasana kekeluargaan di kalangan ahli yang bakal bertanding.


Ahli menyerah borang di pejabat perhubungan negeri

Kenyataan mereka itu ada asasnya, apa yang berlaku di Bahagian Kubang Kerian berlainan sama sekali di mana kesemua yang bakal bertanding mengambil borang dalam suasana yang harmoni di pejabat bahagian berkenaan walaupun menghadapi masalah yang sama dengan Bahagian Rantau Panjang.

Begitulah fenomena yang berlaku sebelum bertanding dalam Umno Bahagian ini, sehinggalah ahli-ahli terpaksa mengambil dan menyerahkan  borang penamaan calon di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Kelantan, Datuk Hassan Harun
 berkata, langkah tersebut untuk menghalang berlaku kegiatan mensabotaj kertas pencalonan sehingga menyebabkan ada calon yang sepatutnya layak tetapi gagal.

Perhubungan Ambil Alih

Pihak yang terbabit di bahagaian seharusnya bertindak secara bijaksana bagi memastikan peristiwa silam tidak berulang kembali. Sejarah pergolakan bermula pada 7 Ogos, 2009 menjurus kepada pengantungan Umno bahagian selama beberapa bulan dan diletakkan di bawah Badan Perhubungan Umno Negeri harus menjadi teladan.

Ketika itu Abdullah mengadakan persidangan perwakilan di Dewan Kolej Kemahiran
Tinggi Mara, Lubok Jong di Pasir Mas manakala kumpulan yang diketuai Pengerusi Tetap
Umno bahagian itu, Che Alwi Che Haron mengadakan persidangan perwakilan di Dewan Umno Kampung Lati.

Abdullah bersama kumpulannya mengambil dan menyerahkan borang di pejabat Umno bahagian

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyelar tindakan sebegini menjejas imej parti. 

Beberapa bulan selepas itu menyaksikan konflik yang semakin parah dengan pelbagai ugutan yang merugikan parti antaranya ramai pemimpin di peringkat cawangan mengancam mahu keluar dari parti.

Paling menyedihkan dalam situasi begitu Abdullah bagaikan dirasuk bertindak memecat 
36 Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) dan tiga Ketua Penyelia Pembangunan Mukim (KPPM) dipecat. 

Kekalahan Demi Kekalahan Kemelut yang melanda berpunca apabila Lembaga Disipilin Umno yang dipengerusikan oleh Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail memutuskan Datuk Mohd Zain Ismail, Ghazali Ismail dan beberapa yang lain digantung keahlian selama tiga tahun berdasarkan Perkara 5 Tataetika Ahli dalam Perlembagaan Umno kerana didapati melakukan kesalahan rasuah politik sebelum persidangan.

Selain itu, ada desas-desus yang mengatakan mereka juga menaja calon bebas Parlimen Rantau Panjang Isma Airfath Hasanuddin yang lebih dikenali sebagai ‘Kosing ‘ pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang meyaksikan Umno kalah kesemua kerusi yang dipertanding.

Sejarah silam yang berlaku pada 1982 antara Hussein Ahmad dengan Hassan Abdullah semasa persidangan bahagian harus dijadikan iktibar. Perasaan tidak puas hati akan perjalanan mesyuarat sehingga berlakunya insiden tembakan senjata api ke udara merupakan titik hitam dalam sejarah Umno bahagian.

Bermula dari situ Umno bahagian semakin goyah dan menerima nasib malang, calon yang bertanding Parlimen Rantau Panjang bermula Hussein Ahmad, Abdullah Mat Yassim, Afandi Yusoff dan Ghazali Ismail mengalami kekalahan demi kekalahan.

Senario yang berlaku seharusnya menjadi pencetus kepada ahli untuk bangkit agar Umno bahagian berada di landasan yang betul. Bukan individu yang dipilih tetapi kepentingan parti harus didahului.

Setiap individu yang bertanding ada perbezaan dan kelebihan masing-masing, hendaknya perwakilan yang bakal memilih pada 19 Oktober nanti bertindak matang dengan tidak memilih calon yang mempunyai satu persamaan iaitu pernah mengkhianati parti dan kalah dalam pilihan raya. – HUSIN ALBI

Comments

  1. Dalam mencari pelapis pemimpin seharusnya berlaku "pencak silat". Bukan melawan guru tapi sebagai benteng untuk sama-sama mempertahankan hak rakyat dan sama berbakti.

    Menjadi wakil Bahagian ataupun wakil rakyat bukanlah sebagai satu dahan untuk terus bertenggek disitu dengan selesa tampa melakukan perubahan. Kerana hari ini tidak sama dengan semalam. Masyarakat dapat menilai budi dan jasa diatas
    jawatan yang "kita" pegang. Ia adalah satu amanah yang berat bukan sekadar pangkat yang hanya meluas lubang hidung tapi persoalan yang akan dijawab satu persatu mengenai peranan sebagai "wakil" yang dicalonkan.

    Maka diharapkan agar "rakit" yang menang nanti sedia memberi kidmat yang terbaik kepada masyarakat dan bukan menjadi "pukat jeruk" yang menadah dimuka kuala.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts