PENDUDUK RANTAU PANJANG SAMBUT BAIK LANGKAH NIK NAZMI SELESAIKAN ISU BANJIR

 


Nik Nazmi (duduk, kanan) diberi penerangan projek tebatan banjir oleh wakil penduduk, Mohd Yazid Abdullah (kiri) semasa menghadiri Perjumpaan Bersama Penduduk Terkesan Banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang

RANTAU PANJANG, 23 Jan - Lebih 100,000 penduduk dari 62 kampung di sini, mampu menarik nafas lega apabila Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mengadakan mesyuarat berhubung Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok pada minggu depan di Kuala Lumpur.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, memberitahu pada sesi perjumpaan dengan  ahli jawatankuasa bertindak banjir dan mangsa banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua agensi terlibat termasuk kerajaan negeri akan mengatur tindakan jangka pendek bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara.

"Saya akan beri perhatian terhadap kebimbangan penduduk yang berulang kali mengalami kesusahan setelah dakwaan banjir berlaku akibat pembinaan benteng PLSB tersebut.

"Sebarang keputusan dalam mesyuarat akan dimaklumkan nanti termasuk berkaitan peruntukan khas sekiranya ada turut dibincang sama," katanya lagi. 

Nik Nazmi berkata, desakan penduduk yang mahu agar diperbanyakkan pembinaan pintu air pada benteng terbabit juga akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

"Perbincangan ini perlu kerana kita tidak mahu penduduk kampung menjadi mangsa ketika projek ini dalam pembinaan, insya-ALLAH akan ada tindakan segera diambil oleh agensi berkaitan kerana kita tidak mahu kejadian banjir berulang," katanya.



       Benteng tebatan banjir yang dibina sebelah kanan tebing Sungai Lanchang di Kampung Tersang 

PENDUDUK SAMBUT BAIK

Sementara itu, pengumuman yang dibuat oleh Nik Nazmi itu menerima tepukan gemuruh dan sorakan penuh kegembiraan daripada kira-kira 500 orang yang hadir pada majlis tersebut.

Seorang penduduk yang ditemui, Mohd Roslan Ahmad, 58, mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memahami situasi yang dialami oleh penduduk setempat.

Dia  berkata pengumuman tersebut merupakan hasrat menteri berkenaan  menyelesaikan masalah banjir besar (matlamat utama) dan banjir termenung selepas banjir besar berlaku.

Alhamdulillah...Syukur…Perjuangan ambo juga bersama Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, menemui satu jalan persamaan ke arah penyelesaian jangka pendek.

Ambo berjuang secara rela hati tanpa pengaruh mana-mana fahaman politik kepartian kerana ambo konsisten mengatakan kegagalan ini adalah kegagalan pelaksana projek”, katanya lagi.

Roslan juga berkata sekiranya ia merupakan janji kosong, beliau akan kembali kepada perjuangan asal iaitu menyelamatkan penduduk.

BENTENG PUNCA BANJIR BESAR

Penduduk sebelum ini mendakwa pembinaan tidak bersistem benteng banjir Sungai Lanchang Lemal, sebagai punca kawasan mereka dilanda banjir paling teruk dan terburuk Disember lalu.

Walaupun rumah dibina agak tinggi di Kampung Tersang. kesan banjir menunjukkan kediaman ini turut ditenggelami banjir.

Benteng sepanjang kira-kira 20 kilometer itu dibina bermula dari Kampung Tersang di Sungai Lanchang melalui Sungai Lubok Jong ke Kampung Rengas dekat Danau Tok Uban, Pasir Mas.

Pembinaan benteng itu adalah sebahagian daripada prokej PLSB bagi Sungai Golok (KESBAN) yang melibatkan kos RM656 juta dan dijangka siap tahun 2024.

Namun, dalam tempoh pembinaan itu yang masuk musim tengkujuh baru-baru ini menyebabkan air Sungai Lubok Jong, Sungai Pengkalan Teluk dan Sungai Lanchang melimpah melebihi paras bahaya dan tidak dapat mengalir keluar ke Sungai Golok apabila hujan lebat selama dua hari.

Limpahan itu mengakibatkan kawasan sekitar Bandar Baru Lubok Jong, Kampung Paloh, Kampung Serrunga, Kampung Tersang, Gual Periok, Kampung Kubang Kual dan pekan Rantau Panjang terjejas teruk.

Turut terjejas, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas (PTJPM), Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lubok Jong dan Sekatan Jalan Raya 24 jam Cabang Empat Salam, Rantau Panjang.-- HUSIN ALBI

Comments

Popular Posts