HILANGNYA SINAR STESEN KERETAPI RANTAU PANJANG

RANTAU PANJANG, 14 Julai - "Cuuuut! Cuuuut! Cuuuut!". Bunyi amaran Keretapi Tumpat-Sg. Golok, yang digerakkan enjin lokomotif berkuasa wap akan berhenti di Stesen Rantau Panjang bermula sekitar tahun 1916.

Riuh-rendah suara Tok Peraih menurunkan barangan jajaan bagaikan suasana kemeriahan sebuah pasar bergerak pasti kedengaran beberapa tahun selepas itu.

"Tok Peraih", nama gelaran kepada wanita-wanita penjaja oleh masyarakat setempat. Ciri utama para Tok Peraih ini ialah lilitan kain batik lepas di kepala yang diguna sebagai pengalas junjungan.

"Jagung! Jagung! Kacang! Kacang! Ketupat! Ketupat!," itulah laungan yang kedengaran ketika meninggalkan stesen menuruni tebing ke sebuah pasar berhampiran untuk berniaga sehinggalah keretapi penumpang tiba kembali di stesen dari Sungai Golok.


Lokomotif Berkuasa Wap


KEGIATAN EKONOMI BERKEMBANG

Seorang pesara guru, Awang Ahmad, 60, berkata tapak pasar berkenaan terletak di Kedai Lama, betul-betul berhadapan dengan stesen keretapi lama.

“Sekarang tapak tersebut telah didirikan rumah kediaman, bersebelahan rumah peninggalan orang tua saya”, ketika mengingati kembali sejarah silam.

Kegiatan ekonomi di pekan ini mula berkembang di sini dengan terbinanya beberapa buah rumah kedai papan, sebelum merebak ke kawasan baru di hulu stesen.

“Seingat saya orang yang merintis pembinaan kedai-kedai tersebut selepas merdeka ialah seorang peniaga bergelar ‘Tok Awang Belulang’”, katanya.

Pelbagai kegiatan ekonomi mula bertapak di Rantau Panjang dengan penghijrahan orang-orang cina dan India Muslim ke sini, katanya.

Bentuk stesen keretapi suatu masa dahulu

JAJA ATAS, JAJA BAWAH

Zabedah Omar, 80,salah seorang ‘Tok Peraih’ berasal dari Kampung Slow Machang, Pasir Mas, atau lebih dikenali dengan panggilan "Mok Jung" akan menaiki keretapi dari situ untuk menjaja dan berhenti di Rantau Panjang.

"Sudah jaja atas, jaja bawah pula,. Masa tu mak cik dalam lingkungan umur 20-an, Mok Jung ialah singkatan nama junjung yang diberikan oleh penumpang.

"Atas kepala junjung bakul manakala dua belah tangan membimbit raga plastik sarat dengan makanan," katanya mengimbas kembali sejarah silamnya sambil menuding ke arah sebuah bakul usangnya.

Zabedah berkata, pada ketika itu keretapi merupakan nadi utama perhubungan penduduk setempat yang banyak membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Bukan sahaja pelbagai makanan seperti kuih-muih, laksa serta nasi dagang yang telah siap dibungkus dijual dalam gerabak-gerabak keretapi penumpang ini, barangan lain seperti ikan laut serta ikan air tawar yang segar serta ikan masin sayur dan beras turut diniagakan.

Tok Peraih

PASAR BERGERAK

Menurut Zabedah, Tok Peraih hanya boleh berniaga di dalam gerabak keretapi yang dipanggil perkhidmatan "local" oleh penduduk tempatan dan bukan dalam perkhidmatan keretapi ekspres atau "mel".

Ini kerana keretapi mel tak berhenti di stesen-stesen kecil, kata Zabedah.

"Zaman tu mana ada jalan raya macam lo ni (sekarang). Orang ramai dan budak sekolah lebih suka naik keretapi daripada naik bot ikut sungai.

"Jadi stesen keretapi la jadi tempat jual beli barangan. Beras, pisang, ubi, jagung, sayur, semua ada," katanya lagi.

Banjir 1969 yang melanda Rantau Panjang

TEMPAT SELAMAT KETIKA BANJIR

Pembinaan rangkaian landasan dan stesen keretapi di seluruh Tanah Melayu bermula pada 1940-an oleh pihak kolonial ekoran kepesatan sektor perlombongan bijih timah pada tahun 1890-an terutama di sebelah Pantai Barat Semenanjung pada ketika itu.

Tanah ditambak untuk dijadikan rangkaian landasan dan stesen keretapi dari Selatan sehingga ke Utara dan Pantai Timur Tanah Melayu.

Oleh kerana landasan-landasan serta stesen-stesen keretapi berada pada kawasan yang tinggi yang telah ditambak semasa pembinaan, tidak hairanlah kawasan-kawasan ini menjadi tumpuan penduduk setempat mencari perlindungan apabila berlakunya banjir.

Menurut seorang penduduk tempatan, Omar Doson, 70, ketika banjir besar melanda pekan ini pada tahun 1969 dan 1974 hanya landasan dan stesen keretapi yang tidak terjejas.

"Berpuluh-puluh kenderaan diletakkan bersebelahan landasan. Ramai orang menyelamatkan diri di stesen keretapi dan ada yang menyeberangi jambatan keretapi untuk berpindah di Sekolah Kedai Baru, Sungai Golok sementara menunggu air surut," katanya.

Omar, seorang pesara kerajaan berkata kebanyakan pasukan penyelamat mengerakkan jentera mereka dan menyalurkan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa di situ. – HUSIN ALBI 

Comments

Popular Posts