RAMADHAN, CENDOL DAN LIKU KEHIDUPAN PENGUSAHANYA
Hirupan
cendol bercampur santan dan gula melaka dengan sedikit ais pasti
menyegarkan
tekak ketika berbuka, sejenis minuman tradisional yang digemari oleh pelbagai
peringkat umur di Kelantan.
Namun tidak ramai yang menyedari di sebalik
kelazatannya tersimpan pengalaman yang begitu berharga bagi pembuatnya. Ianya bermula dengan sumbangan simpati
RM1,000 daripada seorang ayah untuk dijadikan modal permulaan kira-kira 22
tahun lepas.
Wang ehsan tersebuat berjaya mengubah kehidupan
pengusaha cendol Md. Abd Hadi Md. Zain, 45, atau lebih dikenali 'Mat Cendol'. Pengalaman selama tiga tahun bekerja di
kilang membuat cendol ibu saudaranya
sebelum itu, telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengubah kehidupannya sekeluarga.
Di awal pembabitan di Kampung Kedemit,
Wakaf Bharu, Tumpat, dia hanya
menggunakan
motosikal untuk membawa cendol ke pasar tetapi sekarang dia mampu memiliki
sebuah van dan sebuah rumah binaan konkrit yang dibina 14 tahun lepas di atas
tanah milik keluarga bernilai kira-kira RM80,000.
"Semuanya itu merupakan hadiah kepada
sebuah pengorbanan ibu bapa yang tidak
ternilai harganya", katanya dengan nada pilu ketika memulakan cerita.
Setiap ibu bapa pasti ingin melihat
kegembiraan anak mereka walaupun
sekuatmana
sekalipun kemarahan mereka kepada kita, kata Md. Abd Hadi.
ZAMAN REMAJA YANG TERUMBANG-AMBING
Semuanya bermula apabila beliau menamatkan
persekolahan setakat tingkatan tiga
walaupun memperolehi keputusan A dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1984.
"Desakan rakan-rakan sebaya ketika itu
untuk tidak melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan
Wakaf Bharu betul-betul mempengaruhi",
katanya lagi.
Bermula dari situlah dia menempuhi
kehidupan remajanya yang penuh dengan keseronokan
dan tanpa hala tuju.
"Masa tu, nok suka semata-mata. Gi
situ... gi sana..., buah motan (rambutan)
orang, hok kita. Ayah suruh ngaji sekolah supaya jadi orang, tapi kita
tak endah", katanya mengimbas kenangan lalu.
Berbekalkan tulang empat kerat yang masih
rapuh dia bersama rakan-rakan melakukan
pelbagai kerja kampung bagi meneruskan kehidupan remaja walaupun pendapatan
tidak seberapa.
KAHWIN SEAWAL USIA MUDA
Ketika berusia 17 tahun dia mengambil
keputusan untuk berkahwin dengan
wanita
pilihannya Rokiah Mat Isa yang sebaya dengannya ketika itu.
Selepas berkahwin dia dan isteri menetap di
Kuala Krai, dengan melakukan
kerja-kerja
kampung bagi memampung kehidupan sekeluarga.
"Masa tu memang susah, kerja hanya
seada-adanya saja, nak kerja lain sijil tak dok... sekolah pun tok habis",
katanya penuh dengan kekesalan.
Bagi menyara kehidupannya sekeluarga dia
merantau ke negara jiran Singapura untuk bekerja sebagai buruh binaan di sana
selama hampir setahun.
Walaupun pendapatan sebagai buruh binaan
agak lumayan namun warna-warna kehidupan
kampungnya seolah-olah telah sinonim dalam jiwanya.
Md. Abd Hadi dibantu anaknya. |
BEKERJA DI KILANG CENDOL
Sekembalinya ke kampung ketika berumur 19
tahun dia bekerja di kilang
cendol
milik ibu saudaranya di Kampung Padang Tok La, Pasir Mas dan di sinilah bermulanya
penglibatannya secara langsung dalam industri membuat cendol.
Walaupun tidak mampu memiliki segulung
ijazah dia bertekad untuk menepanama setanding dengan insan lain bagi menebus
kesilapan masa lampaunya.
Berbekalkan semangat "di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan", dia pasrah dengan apa yang
dilakukannya.
"Setiap pekerjaan yang dilakukan
bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil, itulah prinsip yang dipegang",
kata ayah kepada empat orang anak itu.
"Tuhan telah memakbulkan permintaan
saya, kita tidak sunyi daripada membuat kesilapan, cuma akal sahaja yang mampu
memperbetulkannya agar ianyatidak berulang kembali", kata Md. Abd Hadi
dengan nada penuh keinsafan.
Md. Abd Hadi menunjukkan cendol yang dibuatnya. |
MENJEJAK KAKI KE MENARA GADING
Kini beliau mampu tersenyum dari hasil
titik peluh yang dicurahkan selama
ini
kerana cendolnya mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat
setempat.
Setiap hari dia menghasilkan kira-kira 30
gantang cendol untuk dibekalkan
kepada
peraih-peraih dengan harga RM7 untuk satu gantang, malah permintaannya akan
meningkat sekali ganda pada bulan Ramadhan.
Kepahitan hidup yang dirasai terubat
apabila melihat dua daripada empat
anaknya
berumur antara 8 hingga 22 tahun berjaya melanjutkan pelajaran ke
Universiti
Malaya.
"Cukuplah apa yang saya rasai ketika
zaman remaja, biarlah ianya terpahat
dalam
catatan sejarah untuk renungan anak-anak demi masa depan mereka", ujar Md.Abd
Hadi .
Sesungguhnya pendidikan tinggi belum tentu menjamin kejayaan sesuatu
bidang yang diceburi tanpa disertai dengan ketekunan dan minat yang mendalam,
ujarnya mengakhiri cerita.--HUSIN ALBI
Comments
Post a Comment