KISAH SUNGAI DAN MASYARAKAT RANTAU PANJANG…
Tragedi
letupan bom yang mengorbankan dua warganegara Thailand di Pengkalan Che Kassim,
di tebing Sungai Golok, mengemparkan penduduk pekan Rantau Panjang sekitar
tahun 1975.
Ianya berlaku ketika guni-guni yang berisi
barangan dipunggah dari atas lori ke rakit berhampiran untuk dimasukkan ke
dalam sampan besar (perahu bedar), dipercayai cuba diseludup ke pekan ini
sebelum diangkut dengan lori ke destinasi luar Kelantan.
Letupan berlaku pada siang hari apabila
salah seorang lelaki pemunggah barangan yang memikul guni berkenaan
menghempasnya ke atas timbunan barangan yang lain.
Dia dan seorang lagi lelaki berada di atas
sampan yang ditugaskan untuk menyusun guni tersebut maut ditempat kejadian manakala
beberapa orang yang lain cedera.
BUNGA API DAN MERCUN
Menurut seorang anak tempatan, Amran Rahman, 48, berkata semasa kejadian
dia berada di sekolah yang jaraknya kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.
”Bom tu meletup tengah hari, lebih kurang pukul 12, tebing sebelah sana,
jaraknya kira-kira 30 meter dengan tebing sebelah sini.
Bangunan sekolah bergegar, ramai budak-budak dan cikgu jadi panik,
ingatkan gempa bumi ” katanya yang ketika itu berada dalam darjah 4.
Amran berkata, maklumat yang diperolehi daripada bapannya menyatakan
perahu berkenaan sarat dengan muatan guni berisi bunga api untuk sambutan
perayaan Tahun Baru Cina.
Kemungkinan bunga-bunga api berkenaan
diselitkan sekali dengan bahan letupan yang ingin diseludupkan ke negara ini.
SUMBER
PENDAPATAN
Seorang lagi penduduk tempatan Abdul Wahab
Ghani, 51, berkata tragedi berkenaan mengingatkannya akan kejadian letupan bom
di Panggung King, Sg. Golok yang mengorbankan berpuluh-puluh orang ketika
tayangan filem hindi pada tahun yang sama.
“Nasib baik tidak ada budak sekolah yang
berulang-alik ke sini guna kaler masa tu, kalu tidak ramai lagi mangsa yang
akan terkorban.
Kerja mengambil upah menyeludup ini sudah
sebati dengan penduduk di sini, ianya merupakan salah satu punca rezeki tanpa
ambil kira apa yang dibawa”, ujar Abdul
Wahab lagi.
Dia berkata, paling menyayat hati apabila
beberapa orang rakannya kini menunggu saat hukuman gantung kerana didapati
bersalah membawa dadah dalam jumlah yang banyak.
Mereka semua tidak menyedari guni-guni
berisi beras yang dibawa dalam bonet kereta diselitkan dengan dadah jenis
heroin yang boleh dicaj di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya
1952, sabit dengan kesalahan membawa hukuman
mati mandatori.
PENYELUDUPAN BERASSelain dari ‘perahu bedar’ pada masa yang sama perkhidmatan keretapi dari Tumpat ke
Sungai Golok juga merupakan alternatif untuk menyeludup sekitar tahun 1970-1980an.
Barangan seludup dari negara jiran terutamanya beras akan diisi dalam gerabak
penumpang oleh mereka yang dikenali sebagai "budak beras". Kebanyakan mereka
mengambil upah membawa beras bermula dari pekan Sungai Golok lagi.
Aktiviti budak beras tersebut lebih bercorak ala gengster keretapi, setiap ruang dari tempat duduk sehinggalah ke paras bumbung dipenuhi dengan kampit-kampit beras.
Sesiapa sahaja yang menghalang tindakan mereka ini akan dipukul, malah
ada sesetengah konduktor dan pemandu tren menjadi mangsa kerana dipercayai cuba menghalang aktiviti mereka.
Hampir tiga gerabak daripada empat buah gerabak penumpang setiap tren dari Sungai Golok dipenuhi dengan muatan beras dan setiap ruang dipercayai merupakan "kawasan taklukan" individu tertentu.
Nama-nama seperti Fauzi Ayam Bapak, Jali Kucing, Ibrahim Pok Hok, Mamat Rambo,
Syed Nor, Nasir Wan Yib, Ma Jarah, Makdo Salma, Minah Kedai Baru dan lain-lain lagi
adalah nama yang sememangnya digeruni pada masa itu.
Mereka tidak akan berganjak walau selangkahpun, kecuali dengan kehadiran 'Mat Ribut'
seorang "Gelap Kastam" atau kini dikenali dengan jawatan Pegawai Kastam Diraja Malaysia Bahagian Pencegahan.
KAWALAN
KESELAMATAN
Menyedari akan ancaman penyeludupan dadah
dan senjata api memudaratkan penduduk tempatan dan negara, kerajaan telah
bertindak mengetatkan kawalan di sempadan dengan menempatkan anggota di
pelbagai unit seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Pencegah Penyeludupan
(UPP) dan yang terbaru penglibatan anggota tentera melalui penubuhan Rejimen
Sempadan bagi membantu agensi penguatkuasa yang sedia ada.
Anggota-anggota keselamatan ditugaskan
untuk berkawal di laluan-laluan tikus bermula dari Jeli sehinggalah ke muara di
Pengkalan Kubur. Langkah ini berjaya menjaga keselamatan penduduk tempatan di
mana kejadian jenayah mula berkurangan.
Menurut Mansor Hamzah, 60, sebelum ini keselamatan
di kawasan sempadan tidak berapa terjamin dengan pelbagai kejadian jenayah
berlaku.
“Dulu kalau sebelah malam tak dok orang
nok lalu ikut jalan lama tu di Kg Tersang, pernah satu masa orang jahat letak
buluh yang ditebang atas jalan, tahan bas dan kenderaan yang lalu, rampas semua
barang-barang terutama duit dan barang kemas.
Dalam kejadian lain pernah berlaku rakyat
tempatan yang sedang mandi di sungai ditetak dengan kapak di Kaler Buto,
selepas itu berenang ke seberang. Tidak cukup dengan itu Kedai Emas Ahak pun
dirompak (lokasi sebenar bangunan MARA sekarang)”, katanya mengingatkan sejarah
silam.
Kini selepas lebih 30 tahun, keadaannya
telah berubah, masyarakat tinggal dalam keadaan aman tanpa sebarang gangguan. Namun
kawalan ketat anggota keselamatan tanpa kerjasama penduduk tempatan, ianya
tidak akan ke mana.
Kejadian pembunuhan demi pembunuhan
melibatkan senjata api di Kelantan memberi amaran adakah kawasan sempadan tidak
lagi selamat. Hanya kita yang mampu menjawab teka-teki itu, samada membiarkan
penyeludupan senjata api berleluasa berlaku atau sama-sama bekerjasama dengan
anggota keselamatan membenterasnya. Cintailah keamanan kerana peperangan amat
menyakitkan, kata Mansor mengakhiri bicara. – HUSIN ALBI
Comments
Post a Comment