AZAB PERANG DUNIA KEDUA HANTUI INGATAN WARGA EMAS

Memandangkan tiada kisah menarik di Rantau Panjang bagi memperingati kemerdekaan negara, saya memaparkan sebuah kisah mengenai pendaratan tentera Jepun di Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa, yang ditulis  pada 15 Ogos, 2006, oleh Saudara Kamaruzaman Yaacob, juga merupakan anak jati Rantau Panjang. Selamat membaca dan hayatilah erti kemerdekaan.

     KOTA BAHARU, 15 Ogos (Bernama) -- Ratusan ribu peluru hidup berterbangan di atas kepala semasa Perang Dunia Kedua tetap segar dalam ingatan Omar Senik, 77, setiap kali menjelang detik 31 Ogos.
Kg. Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa
      Dia baru berusia 12 tahun semasa pertempuran antara tentera Jepun dan British ketika pendaratan askar Jepun pada Perang Dunia Kedua di Pantai Kampung Pak Amat di Pengkalan Chepa, Kelantan, kira-kira pukul 12.25 pagi 8 Disember, 1941.
      Omar masih ingat ketika itu beliau sedang berdikir dengan tentera berbangsa Punjabi berdekatan pantai apabila tentera Jepun mendarat, menyebabkan beliau lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri.
      Dalam sekelip mata sahaja dia melihat darah merah mula mewarnai pantai akibat pertempuran yang begitu sengit dan berpuluh-puluh mayat tentera kedua-dua pihak bergelimpangan.

Jambatan Sungai Tok Megat
      
Omar menunjukkan tali air yang dibina Mr. Kawai
     Omar bersama kira-kira 100 penduduk kampung cuba melarikan diri dengan cuba menyeberangi Sungai Tok Megat, ketika ketumbukan tentera Jepun seramai 5,300 mara ke Kampung Pak Amat, tempat bermulanya Perang Dunia Kedua di Pasifik iaitu 95 minit lebih awal daripada Pearl Harbour di Hawaii, tetapi dihalang oleh seorang berbangsa Jepun dikenali sebagai 'Mr. Kawai' yang menetap di situ hampir dua tahun sebelum peperangan tercetus.
GALI LUBANG MENGGUNAKAN TANGAN
      

     Pertempuran semakin sengit apabila tentera Jepun yang cuba menyeberangi Sungai Tok Megat menerima tembakan bertubi-tubi daripada tentera Punjabi dari seberang.
      "Beribu-ribu askar Jepun dan British mati sehingga air sungai itu menjadi merah disebabkan darah daripada anggota-anggota tentera yang terkorban," katanya menyingkap sejarah silam.
      Bagi mengelakkan terkena peluru sesat akhirnya mereka melarikan diri ke hujung kampung dan berlindung di bawah sebuah rumah.
     Mereka meniarap dan mula menggali lubang menggunakan kedua-dua belah tangan dalam keadaan ketakutan.
      Akhirnya setelah hampir 8 jam menggali, lubang sedalam kira-kira 1.7 meter telah dapat disiapkan sebagai tempat perlindungan.

TAKUTKAN PELURU SESAT, RASA LAPAR HILANG
 

Omar, menunjukkan tempat dia mengali lubang guna tangan
     "Selama tiga hari tiga malam berkubu. Tanpa setitik air atau segenggam makanan, namun perasaan takut akibat dihujani peluru di atas kepala, rasa lapar hilang begitu saja. Dalam hati hanya ingatkan mati," kata Omar.
      Selepas pertempuran mula reda, beliau seorang diri keluar dari lubang untuk mencari makanan untuk rakan-rakannya. Sekembalinya dari mencari makanan, Omar terserempak dengan sekumpulan tentera Jepun.
      Mereka mengarahkannya supaya memanjat pokok kelapa yang tinggi. Ketika memanjat benet pada muncung senapang dihala ke arahnya dan akibat terlalu takut dia menjatuhkan kesemua tandan buah kelapa dalam sekelip mata sahaja walaupun tidak menjamah makanan selama tiga hari.
      Selama tiga tahun lapan bulan memerintah, tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh tentera Jepun. Dusun buah-buahan di situ, ditebang dan penduduk tempatan dikerah supaya menanam padi seberapa banyak yang boleh.
      Hasil tuaian diserahkan kepada penduduk secukup makan sahaja, manakala selebihnya diambil oleh pemerintah tentera Jepun.

KEKEJAMAN TENTERA JEPUN
 

Kuala Pak Amat yang tenang, satu ketika dulu pernah bergelora
     Omar berkata beberapa orang penduduk kampung dikerah menjadi buruh paksa untuk membina landasan keretapi maut yang menghubungkan Thailand dengan Burma. Nasibnya baik kerana pada masa itu dia masih belum cukup dewasa untuk melakukan kerja-kerja sebegitu.
      Malah, menurutnya, ada sesetengah penduduk kampung yang engkar dengan arahan dipaksa minum air sabun sehingga kembong lalu dipijak sehingga mati.
      Isterinya Zauwiah Ibrahim, 79, pula mencelah, beliau terpaksa bersembunyi dalam rimbunan pokok nipah, di hujung kampung, ketika berumur 14 tahun bersama-sama enam rakannya yang lain setiap kali tentera Jepun masuk ke situ.
      "Mereka pikul anak-anak gadis bawa balik ke kem secara paksa. Kalau tak pergi ibu bapa akan dipancung", katanya penuh sayu.
      Kini semuanya itu menjadi lipatan sejarah bersama-sama penduduk kampung yang turut berkubu dengannya pada satu ketika dulu. Semua itu diabadikan pada sebuah monumen Perang Dunia Kedua yang siap dibina, di situ, pada 6 Ogos lepas dengan slogan 'Cintailah Keamanan Kerana Peperangan Menyakitkan'.

BERKONGSI PENGALAMAN
      

     Tapak monumen itu juga menyaksikan bagaimana beliau berkongsi pengalamannya bersama lebih 120 pelajar Maktab Tentera Diraja kira-kira 15 tahun lalu, di situ.
Monumen memperingati Perang Dunia Kedua
       Omar kini mengisi sisa hidup yang entah bila ke noktahnya dengan mengajar agama sejak 20 tahun lalu, di sekitar Pengkalan Chepa, melalui program Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) kelolaan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri. Dia menyeru agar generasi hari ini mengambil iktibar dari sejarah silam.
      Laungan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!' pada 31 Ogos 1957 oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj begitu bermakna baginya yang melalui perjalanan hidup dalam empat era yang berbeza iaitu era pendudukan Jepun, pemerintahan British, Darurat dan zaman Pra-Kemerdekaan.
      "Bebas dari belenggu penjajahan. Apa yang lebih penting kita dapat perintah sendiri. Bebas dari telunjuk asing di tanah tumpahnya darah," katanya.
      Sesungguhnya perpecahan masyarakat Malaysia akan memberi ruang kepada mana-mana kuasa luar yang lebih berpengaruh menodai apa yang telah kita nikmati selama 49 tahun lalu dan implikasinya lebih hebat daripada apa yang dialami sebelum ini, katanya.

-- BERNAMA http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/printable.php?id=213962

Comments

  1. The 5 BEST Slots Sites in India with Review - JTHub
    Play 거제 출장샵 slots for real money at The 5 BEST 남원 출장마사지 Slots Sites 제천 출장안마 in India with Review. Learn 인천광역 출장안마 about the games, features and mobile compatibility. 시흥 출장안마

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts