154 PESERTA 'TERCICIR' FELCRA BUKIT TANDAK TERIMA SURAT HAK MILIK TANAH?


ADUN Gual Periok, Datuk Mohamad Awang (duduk, tengah) bergambar bersama-sama sebahagian daripada penerima hak milik tanah kerajaan kawasan Bukit Tandak.


Isu tanah peserta Felcra Bukit Tandak kembali panas apabila kerajaan negeri menyerahkan geran tanah seluas 1.2 hektar (3 ekar) setiap seorang kepada 154 peserta 'tercicir' kawasan tersebut.

Penyerahan dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakop, pada majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Bagi Tanah Kerajaan Kawasan Bukit Tandak di Dewan Apam Putra, Majlis Daerah Pasir Mas, pada Khamis.


Ahmad menyeru kepada para penerima supaya mengusahakan 187 hektar (462 ekar) tanah pemberian kerajaan itu secara berkelompok dengan kerjasama agensi-agensi seperti Felcra, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia dan sebagainya.


Datuk Ahmad Yakop berucap pada Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Bagi Tanah Kerajaan Kawasan Bukit Tandak, di Dewan Apam Putra, Majlis Daerah Pasir Mas.
 

Menurut salah seorang daripada 348 peserta Felcra Bukit Tandak yang hanya ingin dikenali sebagai Dollah, 60, berkata seruan menteri besar itu agak mengelirukan kerana peneroka Felcra sudah lama wujud di situ.


”Rasanya MB tahu masalah yang dihadapi 348 peserta, dah 40 tahun menjadi peneroka Felcra di Bukit Tandak.

Kasihanilah kami, status kami tergantung apabila kerajaan negeri ambil-alih. Jangan pula bila ada kemelut yang tiada penyelesaian antara kerajaan negeri dengan Ibu Pejabat Felcra, kami jadi mangsa”, katanya.


Dia yang merupakan peserta generasi kedua berkata, sekiranya penyampaian hak milik itu betul-betul kepada mereka yang 'tercicir' dan berhak sebagaimana dakwaan 209 orang itu, kami redha. Persoalannya kenapa selepas 35 tahun baru hendak tuntut?


”Mereka ni isi borang di Pejabat Tanah Pasir Mas, ada juga yang lahir pada tahun 1970, jadi mereka ni 'tercicir' sejak budak-budak lagi la”, ujarnya.


Datuk Ahmad Yakop (tiga, kanan) menyampaikan surat hak milik kepada sebahagian penerima pada Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Bagi Tanah Kerajaan Kawasan Bukit Tandak, di Dewan Apam Putra, Majlis Daerah Pasir Mas.


Pembangunan tanah rancangan Felcra Bukit Tandak bermula pada 1979 semasa Barisan Nasional memerintah Kelantan selepas PAS kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1978.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Mohamed Yaacob yang ketika itu menjadi menteri besar mengwujudkan projek tersebut bagi menyelesai kemelut penerokaan tanah kerajaan secara haram pada 1960 hingga 1970 semasa zaman PAS lagi.

Kawasan seluas 689 hektar (1,703 ekar) diteroka dengan kos RM6 juta dan melibatkan 348 peserta.

Dollah berumur 17 tahun semasa projek tersebut dimulakan, setiap peserta diberi  tapak rumah dan pegangan tanah seluas 2.4 hektar (6 ekar) yang diusahakan dengan tanaman getah oleh Felcra.


Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff(duduk, tengah) bergambar bersama-sama sebahagian daripada penerima hak milik tanah kerajaan kawasan Bukit Tandak.


”Masa tu kayuh basikal untuk masuk ke kawasan projek, ada juga yang bermotorsikal. Jalan utama masa tu hanya tanah merah, bukan bertar macam sekarang. 

Jalan masuk ke kawasan projek berselut bila hujan, lepas tu pula tapak rumah yang diperuntukkan berhutan tebal, kena tebas sendiri.

Ada orang kata kami di bawah Koperasi Felcra Bukit Tandak, kenyataan itu tidak benar. Koperasi wujud selepas itu, selepas peserta ada. Saya ingin tanya, adakah Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) wujud selepas Koperasi PKINK ditubuhkan?”, ujarnya lagi.

Kalau kami tidak diktiraf sebagai peserta projek macam mana pula dengan permohonan tapak rumah beserta lampiran sokongan daripada pengurusan Felcra mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri walaupun PAS kembali memerintah selepas itu.

Dollah merayu agar kerajaan negeri menyegerakan pembahagian tanah sebanyak tiga ekar setiap seorang sebagaimana kenyataan ADUN Gual Periok, Datuk Mohamad Awang melalui klip rakaman video Fb TV Baru siaran 4 Oktober, 2019.




Sementara itu, salah seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan Projek (AJKKP) Felcra Bukit Tandak yang hanya ingin dikenali sebagai Kadir, berkata majlis penyerahan hak milk tanah kepada 154 peserta itu hanya diketahui melalui edaran salinan minit mesyuarat majlis tersebut yang diviralkan.


”Kita tidak dimaklumkan atau dipanggil bermesyuarat pasal penyerahan hak milik kepada mereka ini. Sekurang-kurangnya jemputlah kami bertukar-tukar pandangan”, katanya.


Salinan minit mesyuarat yang tidak tahu dari mana sumbernya yang diviralkan


Kami akur dengan keputusan itu, sebab sebarang perkara berkaitan tanah tertakluk kepada Enakmen Tanah Kelantan tahun 1938 iaitu bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sekiranya penyerahan hak milik seluas 462 ekar itu melibatkan tanah getah yang telah siap ditebang, kerajaan negeri sepatutnya mengambil kira peserta yang sedia ada.

Kadir berkata, kami juga wujud di situ, ini terbukti apabila Mahkamah Persekutuan menghidupkan kembali writ saman penebangan pokok getah yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 28 Sept, 2022.

Writ saman tersebut akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, pada 14 Feb ini.


”Kami hanya minta hak kami, hak sebagai rakyat Kelantan, tidak kiralah apa fahaman politik sekalipun, 348 peserta juga ada hak disisi undang-undang. Hak yang sama sebagaimana mereka terima kelmarin”, katanya.-- HusinAlbi

Comments

Popular Posts